Benarlah WANITA itu ibarat permata. Dia dipandang oleh semua manusia kerana kecantikannya. Dia dipuji oleh sekalian insan kerana keindahannya. Tapi sesungguhnya dia dinilai kerana kehalusan peribadinya oleh seseorang yang amat mengerti tentang hakikat sebenar seorang wanita. Keindahan peribadinya ibarat kehalusan seni sebutir mutiara yang hanya mampu dinilai oleh seorang pakar yang benar-benar mengerti tentang keunikan reka bentuk sebutir permata di antara berjuta-juta permata yang terhampar.
Wahai muslimah yang disayangi..
Andai dirimu tercipta dengan penuh keindahan, bersyukurlah kerana kerana itu adalah anugerahNYA dan menjadi perhiasan kepada peribadi yang indah. Tiada gunanya rupa yang jelita tanpa pekerti yang mulia. Sebaliknya... andai dirimu merasa dirimu tidak seindah permata di sekelilingmu, tiada apa yang perlu dirisaukan. Mengapa perlu gusar wahai muslimah? Itu semua ujian Tuhan untuk menguji keimananmu kepadaNYA serta menguji ketabahanmu pada ketentuan takdirNYA. Sebenarnya, kehalusan peribadimu menjadi idaman setiap insan yang mencari permata yang hakiki.
DIA tidak memandang pada keindahan luaran, tetapi DIA hanya meneliti keindahan dalaman, kesempurnaan dari sudut agamanya, yang boleh membimbingnya ke arah jalan yang diredhai Tuhan. Muslimin atau insan seperti ini wujud setiap masa dan di mana-mana sahaja, cuma kuantitinya sahaja yang agak sedikit berbanding lelaki yang biasa.
Allah telah berfirman dalam surah Ali-Imran (Ayat 139) yang menegaskan,
"Janganlah kamu merasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati, sedangkan kamu orang yang tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman."
Ayat ini asalnya ditujukan buat muslimin yang ingin berperang di jalan Allah. Biarpun ayat ini ditujukan umumnya buat mukminin kerana penggunaan kalimah yang bersifat muzakkar, tetapi ayat ini juga boleh ditujukan kepada wanita keraa di dlam Al-Quran ayat yang ditujukan buat lelaki sebenarnya juga ditujukan umum buat seluruh manusia lelaki dan perempuan. Jadi bolehlah ditafsirkan bahawa ayat ini merupakan pujukan lembut daripada ALLAH buat insan yang beriman yang merasa lemah dan berduka.
Wahai muslimah seperjuanganku...
Mungkin pada pandangan orang lain dirimu tidak sehebat mana kerana keindahanmu tersimpan rapi di dalam diri, namun pastinya ianya terserlah pada pandangan insan yang benar-benar memahami peribadi sebenar wanita bergelar muslimah sejati.
INGATLAH janji ALLAH...
Wanita yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik pula (An-Nur: Ayat 26).
Percayalah wahai muslimah..segalanya sudah diatur rapi oleh Allah. Wanita yang beriman tidak akan sekali-kali layak dimiliki oleh lelaki yang buruk akhlaknya dan lelaki yang beriman pula tidak akan ditemani oleh perempuan yang buruk tingkah lakunya. Ini keranaperkongsian hidup di antara yang BAIK dan BURUK tidak akan serasi sama sekali.
Buat para muslimin yang dihormati...
Carilah pewrmaisuri yang sempurna agamanya kerana merekalah yang mampu membawamu ke taman impian di sana nanti, iaitu RAUDHATUL JANNAH di negeri abadi, InsyaAllah. Andai dirimu mengira permaisurimu tidak seindah yang dirimu impikan, tidak mengapa.
Tidak dinafikan sama sekali sememangnya fitrah manusia menyukai keindahan rupa, tetapi adakalanya apa yang kita suka itu tidak semestinya baik untuk kita dan mungkin apa yang kita tidak suka itu sebenarnya yang terbaik untuk kita. Itu semua ketentuan Tuhan yang Maha Bijaksana.
Tunggulah kecantikan yang sebenar! Kecantikan yang akan terserlah di akhirat nanti. Pada saat itu barulah dirimu merasa benar-benar bersyukur kerana mempunyai isteri yang sebaiknya. Kecantikan di dunia hanyalah kecantikan sementara tapi di sanalah kediaman yang abadi. Itulah janji Tuhan. Sesungguhnya Allah tidak akan sama sekali memungkiri janjinya.
Muslimin dan muslimah...
Kesimpulannya di sini, keindahan seorang WANITA hanya terletak pada kesempurnaan agamanya. Keindahan fizikalnya hanyalah perhiasan luaran anugerah sementara daripada Allah yang mungkin boleh lenyap sekelip mata apabila tiba masanya. Itulah fitrah manusia, tiada apa yang kekal abadi pada diri kita.
Oleh itu...buat semua muslimah yang disayangi, moga nukilan kali ini menjadi PENAWAR kegusaran hatimu yang gundah gulana.
Diri ini tinggalkan ayat yang dipetik dari hadis masyhur yang bermaksud,
"Dinikahi seorang wanita itu kerana kecantikannya, keturunannya, kekayaannya dan agamanya. Maka, pilihlah dari segi AGAMAnya, nescaya beruntunglah kedua tanganmu."
Norezzaina Mahari
27 September 2009
09:30 malam
0 comments:
Post a Comment